Bagaimana mengenalpasti ciri pelajar gifted / disruptive dan menguruskan mereka

Huraikan bagaimana mengenalpasti ciri pelajar gifted / disruptive dan menguruskan mereka. Huraikan tiga model pengurusan bilik darjah (model-model asertif, modifikasi tingkah laku dan positive classroom discipline).

Pengenalan

      Seringkali dijumpai seorang anak menunjukkan kemampuan perkembangan psikomotor dan perkembangan kecerdasan yang luar biasa daripada usia sebenarnya. Permasalahan kanak-kanak merupakan isu yang sangat kompleks dan pelbagai baik dari aspek mental, fisiologi, emosi, tingkah laku sosial dan komunikasi. Namun permasalahan yang sering didapati pada kanak-kanak ialah sering menunjukkan ketidakstabilan psikologi. Oleh itu, perkara ini perlu diketahui supaya dapat menjadi panduan kepada ibu bapa dan pendidik. Memerhatikan dan mengenalpasti individu pintar cerdas bukanlah susah, ringkasnya: golongan ini adalah golongan yang memperlihatkan bakat/kebolehan tinggi dan dengan itu mampu dan mungkin mencapai pencapaian yang tinggi. Ibubapa, guru dan pengasuh perlu mengenalpasti bakat dan potensi ini. Semua tingkah laku di sekolah dapat diperlihatkan dalam berbagai bentuk dan ragam. Kanak-kanak tidak dapat menyesuaikan diri mereka dengan keadaan dan suasana pembelajaran. Keadaan begini selalunya menjejaskan pelajaran dan keupayaan mereka untuk belajar dan berhubung dengan orang lain.

Pelajar Gifted

     Apa yang kita faham tentang golongan pintar cerdas adalah sebahagian besarnya datang dari kajian Lewis Terman dari Universiti Stanford. Kajian longitudinal ini dijalankan pada 1920-an terhadap 1528 subjek (pintar cerdas) dari peringkat kanak-kanak sehingga peringkat dewasa mereka. Jurang IQ peserta adalah 130-190, purata adalah 140. Pada hari ini, Terman telah meninggal dunia dan peserta kajian ini juga pada umur yang tua. Laporan kajian masih dikeluarkan oleh rakan Terman selepas kematiannya.

     Bercanggah dengan kepercayaan orang ramai pada masa itu yang menggambarkan golongan ini sebagai lemah dari segi fizikal mahupun sosial; dapatan Terman menunjukkan golongan pintar cerdas ini secara keseluruhan menunjukkan kelebihan mereka dalam semua domain perkembangan seperti intelek, sosial, emosi, fizikal, kreativiti, moral / nilai dan personaliti semasa kecil, mencapai tahap pendidikan yang lebih tinggi dan memperoleh kejayaan yang signifikan dalam kerjaya mereka semasa peringkat dewasa. Kelebihan mereka ini agak stabil sepanjang perkembangan hayat mereka. Antara satu lagi miskonsepsi yang didukung oleh masyarakat adalah kebanyakan kanak-kanak yang pintar cerdas akan menjadi biasa atau kehilangan keistimewaannya apabila mereka menjadi dewasa, mitos ini bercanggah dengan prinsip perkembangan. Keadaan ini mungkin berlaku sebab kesalahan mengenalpasti kanak-kanak biasa sebagai pintar cerdas ataupun potensi mereka disekat akibat persekitaran yang tidak sesuai di mana ia akan menyebabkan penderitaan dan gangguan emosi kepada individu tersebut. Dapatan Terman (dalam http://www.freewebs.com/truesenfa/bab1.htm) adalah sangat penting dan menjadi asas kepada perkembangan psikologi pintar cerdas hari ini.

     Walaubagaimanapun, ia selalu disalah tafsir sebagai bukti golongan pintar cerdas adalah bebas dari masalah dan mencapai kejayaan / kesejahteraan dengan senang. Dengan kata lain, hanya mereka yang seiring dengan deskripsi Terman dianggap sebagai pintar cerdas. Pada hari ini, penyelidik psikologi pintar cerdas menganggap sampel Terman terlalu sempit dan mengecualikan banyak kanak-kanak pintar cerdas mengikut kriteria sekarang. Masalah berlaku apabila Terman memilih peserta / subjek kajian berdasarkan cadangan guru dan markat ujian IQ. Seperti apa yang kita faham, mengenalpasti pelajar pintar cerdas tidak selalunya senang. Kebanyakan buku yang membincangkan ciri-ciri kanak-kanak pintar cerdas seolah-olah menggambarkan mereka ini adalah golongan yang sempurna dan memiliki pelbagai kelebihan dan keistimewaan. Konsep ini tidak begitu tepat. Apa yang boleh kita katakan adalah kebanyakan individu pintar cerdas menunjukkan kebanyakan ciri-ciri ini secara keseluruhan. Perlu diingatkan:

  • Bukan semestinya semakin tinggi kecerdasan, semakin banyak tingkah laku pintar cerdas yang ditunjukkan.
  • Selalunya terdapat kekecualian dan perbezaan individu, keadaan ini lebih jelas kelihatan dalam pergaulan seharian kita dengan golongan ini.
  • Banyak individu yang sangat tinggi kecerdasan tidak menunjukkan banyak ciri-ciri yang disenaraikan. Contohnya dia belajar matematik tambahan semasa tingkatan satu dan menunjukkan aptitut akademik yang sangat tinggi dalam semua subjek. Pada masa yang sama, dia juga tidak memiliki mana-mana hobi, bukan seorang yang kreatif, dan bukan tinggi dalam perkembangan moral dan etika. Kematangan pemikirannya juga di bawah perkembangan akademiknya, dia tidak ada wawasan jangka panjang atau melakukan sesuatu demi menunjuk-nunjuk semata-mata. Perkembangan tidak sekata bukan luar biasa bagi golongan ini.
  • Kalau pelajar anda menunjukkan tanda-tanda berikut tetapi tidak menunjukkan pencapaian akademik yang setimpal, dia adalah pelajar pintar cerdas pencapai rendah. Keadaan ini menunjukkan masalah telah berlaku dan guru perlu memahami apakah punca keadaan ini. Dia mungkin tidak berminat dengan akademik di sekolah atau menghadapi masalah sosioemosi yang lain.
  • Menggolongkan semua individu pintar cerdas bersama tidak semestinya mewujudkan persahabatan yang berkekalan. Disebabkan perkembangan mereka yang melampau dan cenderung tidak seimbang, perbezaan antara satu sama lain mungkin membawa kepada konflik. Prinsipnya adalah menggolongkan mereka mengikut kecenderungan atau jenis mereka. Disebabkan perbezaan dan keunikan mereka, membantu mereka mendapat rakan yang mirip kepada mereka adalah satu cabaran yang sukar. Bagi mereka yang terlampau pintar cerdas, mereka adalah satu-satu bagi jenisnya.
  • Golongan pintar cerdas bukan kelompok manusia yang sempurna. Ada mungkin berasa tertekan sebagai guru pendidikan pintar cerdas bukan sebab cabaran dari segi akademik semata-mata, tetapi sikap dan tingkah laku mereka yang buruk. Kajian Terman mungkin menggalakkan romantisisme terhadap golongan ini.

     Pelajar gifted ini cemerlang dalam bidang akademik dan pembelajaran. Ciri-ciri kanak-kanak berbakat ialah kanak-kanak yang bergeliga (giftedness). Banyak ahli psikologi meneroka tentang kecemerlangan manusia atau zat keinsanan yang menjadikannya superior dari manusia lain. Penerokaan ini lebih dikenali dengan ‘geliga berpusat’. Kanak-kanak yang bergeliga (gifted children) ialah kanak-kanak yang mempunyai kepintaran cemerlang. Tingkah laku ini boleh disaksikan dengan hasil kepintaran penaakulan dan penggunaan konsep-konsep abstrak. Kanak-kanak yang pintar-cerdas secara amnya mempunyai:

  1. Keupayaan mental am superior.
  2. Bakat istimewa.
  3. Pencapaian kreatif tinggi.
  4. Dorongan untuk belajar dan pencapaian.

     Definisi Marland, 1972, dalam S.Deborah, (1998: hal. 277) iaitu:

Gifted and talented children are those identified by professionally qualified persons who by virtue of outstanding abilities are capable of high performance. These are children who require differentiated educational programs and services beyond those normally provided by the regular school program in order to realize their contribution to self and society”.

Children capable of high performance include those with demonstrated achievement and/or potential ability in any of the following areas singly or in combination:

  1. General intellectual aptitude
  2. Specific academic aptitude
  3. Creative or productive thinking
  4. Leadership ability
  5. Visual and performing arts

    Rohani Abdullah (2003) pula mendefinisikan terhadap kanak-kanak cerdas, menurut beliau kecerdasan merangkumi pengetahuan, kefahaman dan penaakulan. Ujian yang dicipta menyamai kerja-kerja sekolah yang merangkumi ukuran perbendaharaan kata, kefahaman fakta-fakta dan pertalian serta penaakulan matematik dan bahasa. Semua ujian tersebut merupakan kaedah mengukur perbezaan individu dalam kuasa daya fikir. Keunikan anak berbakat membuatkan mereka memerlukan perhatian lebih dalam pola pengasuhan, pendidikan dan bimbingan agar lebih optimum.

     Anak berbakat didefinisikan oleh USOE (United States Office of Education) sebagai anak-anak yang dapat membuktikan kemampuan prestasinya yang tinggi dalam bidang-bidang seperti intelektual, kreatif, artistik, kapasiti kepemimpinan atau akademik spesifik dan mereka yang membutuhkan pelayanan atau aktiviti yang tidak sama dengan yang disediakan di sekolah berhubungan dengan penemuan kemampuan-kemampuannya. Giftedness merujuk kemampuan superior alami (yang disebut aptitutes atau gifts (kurnia)) yang sudah dimiliki seseorang secara spontan tanpa bimbingan atau latihan minimal pada satu bidang tertentu yang menempatkan seseorang tersebut 10% terbaik di antara teman-teman sebayanya.

     Sementara bakat merujuk kepada penguasaan yang luar biasa (superior mastery) dan merupakan kemampuan / ketrampilan ataupun pengetahuan yang dibentuk secara sistematik dalam salah satu bidang tertentu yang juga menempatkan mereka termasuk di antara 10 % terbaik antara teman sebayanya di dalam bidang yang sama. Seorang pintar cerdas yang menunjukkan pemikiran matang dan bernas mungkin bertingkah-laku kebudak-budakan (sifat humor). Sifat yang bercanggahan ini menjadikan mereka dikatakan bertindak akibat daya yang bercanggahan. Sifat yang bercanggahan ini menjadikan mereka nampak seolah-olah misteri dan susah difahami, sebahagian misteri ini adalah pertimbangan dan dorongan mereka yang berbeza dengan orang biasa dalam tingkah laku dan pembuatan keputusan mereka sendiri.

     Sebagai ibubapa atau guru kepada anak pintar cerdas yang sensitif, kita perlu berhati-hati semasa berinteraksi dengan mereka. Kecerdasan yang tinggi dan sifat yang sensitif menjadikan mereka senang dilukai dan perasan. Cara menangani pelajar pintar cerdas (gifted) ini adalah melalui pelbagai pelan tindakan yang dicadangkan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia. Penyediaan pendidikan bagi pelajar mengikut keperluan iaitu :

  • Mewujudkan Sekolah Seni
  • Merintis program khusus bagi pelajar pintar cerdas dan berbakat
  • Mewujudkan kerjasama dengan KPWKM & KDN
  • Menyediakan kemudahan pendidikan kepada pelajar yang kini berada di Pusat Pemulihan Komuniti

Pelajar Disruptive

     Tingkah laku mengganggu (disruptive) merupakan tingkah laku mengganggu aktiviti individu atau kumpulan lain, pengajaran guru atau pergerakan yang tidak perlu. Pelajar disruptive bercakap tidak mengikut peraturan, ketawa terbahak-bahak, bertepuk tangan, menjerit, menyanyi, bersiul, terlalu membuat bising serta mobiliti melampau. Mereka juga melakukan keagresifan fizikal seperti tolak-menolak, bertumbuk dan sebagainya. Hamzah (1996) menggariskan beberapa tingkah laku kacau bagi kanak-kanak. Istilah ‘kacau laku’ dicipta untuk mewakili pelbagai bentuk tingkah laku yang tidak sesuai, Perlakuan ini juga dikenali dengan ‘kenakalan’. Di Barat, tingkah laku seperti ini dinamakan (disruptive) atau ‘tingkah laku kacau’(disturbed). Ciri-ciri tingkah laku seperti ini adalah:

  1. Tidak mahu bekerja sama. Contohnya: degil.
  2. Agresi. Contohnya: mengganggu dan menyakiti orang lain.
  3. Sentiasa mahukan perhatian. Contohnya: mengada-ada.
  4. Konsentrasi buruk . Contohnya: enggan mengambil bahagian dan menyendiri.
  5. Ketidakupayaan mental. Contohnya: lembab.

Ciri-ciri kanak-kanak kacau laku dapat dibahagikan kepada dua bahagian iaitu sederhana dan serius. Kanak-kanak yang sederhana kacau laku antara cirinya adalah:

  1. Lemah dari segi pencapaian akademik.
  2. Lemah dalam hubungan antara manusia.
  3. Lemah dalam konsep kendiri.

Manakala kanak-kanak yang serius kacau laku pula antara cirinya adalah:

  1. Pendiam dan enggan berbual.
  2. Pertuturan yang tak bermakna dan mengajuk cakap.
  3. Tingkah laku perangsangan kendiri yang berlebihan seperti sentiasa menggawang- gawangkan tangan.
  4. Tingkah laku pemusnahan kendiri seperti menghantuk kepala.
  5. Kurang kemahiran mengemas diri dan menjaga kesihatan diri.
  6. Enggan melayan seperti berpura-pura pekak atau buta.
  7. Enggan menjawab soalan ujian.
  8. Kemahiran antara manusia yang buruk dan berhati kering kepada orang lain.
  9. Terlalu agresif tanpa provokasi.
  10. Suka memusnah harta sendiri dan harta orang lain. 11.
  11. Gopoh dan hiperaktif.
  12. Mencari perhatian daripada rakan dan guru.
  13. Mudah terganggu.

Kanak-kanak sukar belajar terdiri dari beberapa jenis di antaranya ialah pelajar panggilan pencapai bawah (underachievers), pelajar lembam, pelajar lambat, murid benak (academically difficult) dan terencat akal. Selanjutnya kanak-kanak yang bermasalah kognitif dan yang bermasalah sosioemosi juga merupakan golongan sukar belajar. Secara amnya terdapat juga kanak-kanak yang normal mengalami gangguan pembelajaran seperti ini. Ciri kanak-kanak sukar belajar:

  1. Kelemahan bahasa.
  2. Kelemahan mengira.
  3. Kelemahan dalam metaingatan.

Kanak-kanak yang sukar belajar juga didapati rendah dalam konsep-kendiri, harga diri dan konsep kendiri akademik. Mereka tidak mempunyai dorongan dalaman dan harapan yang tinggi kepada prestasi belajar. Dari segi interaksi sosial pula kanak-kanak sukar belajar didapati mempunyai ciri-ciri seperti berikut:

  1. Kurang popular.
  2. Disingkir dalam pergaulan.
  3. Tidak begitu menarik perhatian guru dan rakan.
  4. Kurang kerap berinteraksi dengan guru dan rakan.
  5. Datang dari golongan kelas sosioekonomi lemah.
  6. Tidak peka kepada perasaan orang lain.
  7. Tidak berupaya melihat dari sudut pandangan orang lain.
  8. Tidak berupaya membaca isyarat sosial seperti ekspresi muka dan pautan tangan.
  9. Tidak berupaya mentafsirkan perbezaan dalam nada suara semasa mendengar perbualan.

Beberapa punca tingkah laku mengganggu (disruptive) telah dikenal pasti antaranya :

  1. Teknik pengajaran guru membosankan, tidak kondusif, penyampaian kurang jelas serta teknik pengajaran tidak sesuai.
  2. Keadaan fizikal sekolah kurang memuaskan, bilangan murid terlalu ramai serta kemudahan tidak mencukupi.
  3. Suasana sosioemosi yang kurang sihat dengan wujudnya ‘klik’ dalam bilik darjah.
  4. Kesihatan pelajar kurang memuaskan.
  5. Sifat guru yang kurang tegas : mengamalkan kepimpinan laissez-faire.

Cara guru menguruskan pelajar yang bertingkah laku disruptive:

  1. Pastikan arahan jelas: guru memberi arahan yang jelas berkenaan tugasan bagi memudahkan pelajar menjalankan tugas.
  2. Jelaskan objektif setiap tugasan: kefahaman objektif tugasan dapat memotivasikan pelajar.
  3. Pastikan tugasan mencabar dan mencukupi: tugasan sesuai dengan kebolehan dan peringkat pencapaian pelajar.
  4. Memanggil nama: sebut nama pelajar apabila memintanya menjawab soalan.
  5. Pastikan peraturan bilik darjah teratur: peraturan teratur dan mudah difahami untuk diikuti.
  6. Elakkan mengutuk dan menyindir: kondem pelajar di hadapan pelajar lain.
  7. Elakkan menghukum keseluruhan kelas: jika disebabkan oleh hanya seorang pelajar.
  8. Jangan menengking dan berleter: menyusahkan perjalanan proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilim darjah.
  9. Berikan pujian: apabila pelajar menunjukkan sesuatu yang baik.
  10. Dengar cadangan pelajar: terima cadangan jika sesuai.
  11. Bersifat tegas dan adil: laksanakan peraturan dengan tegas dan layan pelajar dengan adil (sama).
  12. Kenal pasti pelajar yang pemalu: kesan keperluan mereka dan berusaha memenuhinya.
  13. Berikan pelajar peluang untuk meluahkan kehendak dan masalah mereka.

MODEL PENGURUSAN BILIK DARJAH

a) Model Asertif

Pengenalan

     Disiplin asertif merupakan suatu pendekatan sistematik dan berstruktur untuk membantu guru mengelola bilik darjah dengan berkesan. Falsafah disiplin asertif adalah berdasarkan kepentingan pematuhan pelajar terhadap pengajaran dan pembelajaran oleh guru dalam bilik darjah. Dalam Teori Disiplin Asertif yang dikemukakan oleh Lee Canter, beliau menekankan tentang hak guru dan murid dalam pengurusan bilik darjah. Hak murid untuk belajar dalam persekitaran yang kondusif dan hak guru untuk mengajar tanpa gangguan. Oleh itu, terdapat beberapa cara yang dapat diaplikasikan oleh guru untuk mengatasi masalah disiplin murid melalui model disiplin asertif Canter ini. Berikut merupakan cara-caranya: Menetapkan Peraturan Salah satu cara disiplin asertif adalah menetapkan peraturan kelas.

    Menurut Canter, murid-murid memilih untuk bertingkah laku. Oleh itu, guru perlu menyediakan persekitaran pembelajaran yang dapat membantu murid memilih tingkah laku yang sesuai dan bermanfaat. Untuk mencapai persekitaran yang kondusif, keperluan – keperluan guru dan murid perlu dipenuhi melalui pengurusan bilik darjah yang asertif. Hal ini boleh dilakukan dengan mengadakan peraturan yang jelas di dalam bilik darjah. Misalnya, guru kelas Tahun Tiga Merah dan murid-muridnya bersama-sama menetapkan peraturan-peraturan kelas pada awal tahun. Salah satu peraturan adalah mengenai murid yang tidak membawa buku teks yang berkenaan ke sekolah, akan dihukum berdiri di dalam kelas sepanjang waktu kelas tersebut sambil berkongsi buku teks dengan rakan yang duduk di bersebelahannya. Pada suatu hari, salah seorang murid cemerlang dalam kelas tersebut, Sally telah terlupa membawa buku teks Bahasa Melayu ke sekolah.

     Guru harus menghukumnya berdasarkan peraturan yang telah ditetapkan tanpa mengira pencapaian akademik murid tersebut adalah cemerlang atau lemah. Maka, guru menghukum Sally berdiri di dalam kelas sepanjang waktu kelas tersebut sambil berkongsi buku teks dengan rakan yang duduk di bersebelahannya. Dengan cara ini, Sally akan mengingatkan diri supaya tidak akan mengulangi kesalahan yang sama pada masa yang akan datang. Selain itu, semua murid dalam kelas akan menyedari kepentingan mematuhi peraturan kelas yang telah ditetapkan. Dengan berlakunya kes Sally, murid-murid yang lain juga akan mengingatkan sendiri supaya elak daripada mengulangi kesalahan yang dilakukan oleh Sally. Peneguhan Peneguhan juga merupakan salah satu cara disiplin asertif.

     Model Teori Disiplin Asertif berasaskan peneguhan terhadap tingkah laku yang diingini dan penerimaan murid terhadap akibat daripada tingkah laku yang ditunjukkan. Apabila murid-murid mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan, guru memberikan peneguhan seperti penghargaan, pujian atau ganjaran. Sebaliknya apabila murid melanggar peraturan, guru mengenakan peneguhan negatif yang berstruktur, iaitu murid-murid sedaya – upaya akan mengelak daripada akibat dengan mematuhi peraturan. Sebagai contoh, dalam kelas Tahun Empat Hijau, bukannya semua murid akan menghantar kerja rumah yang diberikan oleh guru kelas dalam masa yang ditetapkan. Malahan terdapat beberapa murid dalam kelas tersebut yang sering tidak menghantar kerja rumah mereka. Guru kelas tersebut haruslah memberi peneguhan seperti pujian atau hadiah dalam kelas kepada murid-murid yang menyiapkan dan menghantar kerja rumah dalam masa yang ditetapkan.

     Dengan cara ini, murid-murid tersebut akan terus mengamalkan tingkah laku yang baik tersebut pada masa yang akan datang. Pada masa yang sama, peneguhan tersebut juga diberikan kepada murid-murid yang lain dalam kelas terutamanya mereka yang tidak menghantar kerja rumah atau tidak menyiapkan kerja rumah pada masa yang ditetapkan. Dalam masa yang singkat, sesetengah murid yang tidak menghantar atau menyiapkan kerja rumah akan berubah sikap seperti menghantar kerja rumah pada masa yang tepat atau menyiapkan kerja rumah supaya mendapat pujian atau hadiah yang telah diberikan oleh guru.

      Pada masa yang sama, guru kelas haruslah mengenakan peneguhan negatif terhadap mereka yang tidak menghantar dan menyiapkan kerja rumah. Guru memberi amaran yang terakhir kepada murid yang tidak menghantar dan menyiapkan kerja rumah pada masa yang ditetapkan dan berjanji akan menghantar mereka berjumpa dengan guru disiplin sekolah. Sekiranya masih terdapat segelintir murid yang enggan mengubah sikapnya untuk menyiapkan dan menghatar kerja rumah yang diberi, guru harus menghantar mereka berjumpa dengan guru disiplin sekolah. Dengan ini, murid-murid sedaya upaya akan mengelak daripada akibat dengan menghantar dan menyiapkan kerja rumah pada masa yang ditetapkan.

     Pendekatan Asertif Canter berpendapat pendekatan yang terbaik untuk menguruskan disiplin bilik darjah adalah dengan menggunakan pendekatan asertif. Guru yang mengamalkan pendekatan asertif tahu apa yang diingin oleh daripada murid-muridnya. Mereka akan menyatakan dengan jelas kemahuan mereka terhadap tingkah laku murid yang diingini, perasaan mereka terhadap tingkah laku murid dan menyokong tindakan-tindakan mereka dengan perlakuan yang boleh diterima oleh murid. Guru yang asertif membantu muridnya untuk memahami bentuk tingkah laku yang dapat membawa kejayaan dan tingkah laku yang menyusahkan dan ke arah kegagalan. Sebagai contoh, rutin dan peraturan bilik darjah ditetapkan dengan jelas dan diterangkan kepada murid-murid tentang kepentingan rutin dan peraturan tersebut. Murid-murid juga diberitahu perasaan guru sekiranya mereka mematuhi atau melanggar peraturan tersebut. Murid-murid diterangkan akibat-akibat yang munasabah sekiranya mereka melanggar peraturan. Penjelasan guru diterangkan secara perbincangan dengan murid-murid dan bukannya berbentuk ancaman. Murid- murid sedar dan jelas sebab peraturan itu diadakan dan tahu akan kesan apabila peraturan tersebut tidak dipatuhi.

     Guru asertif tidak akan membawa imej yang garang, kasar atau terlampau tegas. Mereka dapat mengenalpasti peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi oleh murid-murid dan pada masa yang sama mengambil berat terhadap keadaan murid serta berlaku adil terhadap semua murid. Guru yang asertif memberikan arahan dengan jelas dan tegas. Contohnya, ‘ peraturan kelas kita ialah angkat tangan untuk menjawab soalan’ atau ‘angkat tangan dan tunggu dengan senyap, cikgu akan memanggil awak.’ Secara ringkasnya, pendekatan asertif ini dapat menjamin hubungan baik antara guru dengan murid dan dapat menguruskan bilik darjah dengan lebih konsisten. Hal ini dapat membantu membina persekitaran pembelajaran yang tenang dan menyokong perkembangan pembelajaran murid. Tindakan pembetulan Menurut Canter, akibat atau tindakan pembetulan boleh dikenakan kepada murid- murid yang mengganggu hak murid-murid lain untuk belajar dengan selesa. Tindakan pembetulan bukanlah bertujuan untuk mendera murid secara fizikal atau psikologi walaupun kadangkala tindakan pembetulan akan menimbulkan rasa kurang selesa murid.

    Canter menegaskan matlamat tindakan pembetulan dapat memberikan keadilan kepada semua murid dan tindakan itu perlu konsisten. Apabila tindakan pembetulan hendak dikenakan kepada murid, murid tersebut perlu diberitahu bahawa disebabkan tingkah laku yang ditunjukkan oleh mereka bercanggah dengan peraturan yang telah ditetapkan, maka tindakan pembetulan itu perlu dilaksanakan. Canter menyatakan bahawa guru akan gagal menyediakan suasana pembelajaran yang kondusif kepada murid-murid sekiranya mereka tidak mengambil tindakan terhadap tingkah laku yang mengganggu pembelajaran tersebut. Apabila salah laku berlaku hal ini perlu ditangani dengan tenang dan pantas.

       Sehubungan itu, Canter menasihatkan guru untuk membuat hierarki disiplin mengikut keutamaan berserta tindakan pembetulan/akibat yang akan dikenakan. Setiap tindakan pembetulan/ akibat dalam hierarki akan menjadi semakin serius daripada sebelumnya. Kesimpulan Disiplin asertif merupakan suatu pendekatan sistematik dan berstruktur untuk membantu guru mengelola bilik darjah dengan berkesan. Falsafah disiplin asertif adalah berdasarkan kepentingan pematuhan pelajar terhadap pengajaran dan pembelajaran oleh guru dalam bilik darjah. Berikut merupakan aplikasi disiplin asertif yang digunakan oleh guru terhadap pelajar:

  • Tentukan peraturan yang guru hendak melaksanakannya dalam bilik darjah.
  • Tentukan akibat negatif kerana tidak mematuhi peraturan bilik darjah.
  • Jangan teruskan menghukum jika teknik perbincangan boleh mengurangkan situasi ketegangan.
  • Tentukan akibat positif untuk tingkah laku yang sesuai, misalnya peneguhan positif atau ganjaran kumpulan pun boleh dipertimbangkan.

     Mengorganisasikan suatu perjumpaan dengan pelajar-pelajar dan menjelaskan keperluan untuk mematuhi peraturan bilik darjah. Sesungguhnya disiplin asertif amat penting untuk diaplikasikan oleh seseorang guru dalam pengurusan bilik darjah. Berikut merupakan cara-cara yang boleh digunakan oleh seseorang guru untuk memahirkan diri dengan teknik asertif:

  • Apabila tingkah laku yang tidak diingini berlaku, ambil tindakan mengikut peraturan bilik darjah dengan serta merta.
  • Mengenal pasti sebab atau punca berlakunya sesuatu masalah dan memberi respons dengan tingkah laku yang sesuai.
  • Belajar menggunakan teknik memecah rekod dengan mengulang arahan dua kali atau lebih sehingga pelajar-pelajar mematuhi arahan guru.
  • Belajar mengaplikasikan teknik ulangan positif yang merupakan cara mengulangi peraturan supaya semua pelajar mengetahui apa yang patut dilakukan.
  • Menggunakan pujian kedekatan dengan memuji yang terdekat dengan rakan sedarjah yang bertingkahlaku buruk.

b) Modifikasi Tingkah Laku

Pengenalan

     Modifikasi bermaksud proses (perbuatan atau tindakan) mengubah sedikit sesuatu (keadaan atau sifat) supaya sesuai dengan keperluan (menurut Kamus Dewan edisi ke-4). Oleh itu, dalam konteks pengurusan bilik darjah, guru berperanan mengubah tingkah laku pelajar dari tingkah laku negatif kepada tingkah laku positif. Pengurusan bilik darjah adalah merupakan satu set aktiviti yang menggalakkan tingkah laku positif. Sebagai contoh jadual tugas harian yang disediakan oleh guru akan dapat memupuk sikap tanggungjawab dan mendisiplinkan pelajar. Secara tidak langsung, pelajar akan melibatkan diri secara aktif mengikut jadual yang telah ditetapkan. Modifikasi tingkah laku juga merupakan langkah-langkah yang sistematik berdasarkan prinsip-prinsip psikologi untuk mengubah tingkah laku yang negatif kepada positif. Tujuan penggunaan modifikasi tingkah laku adalah untuk mengubah tingkah laku negatif atau salah laku pelajar yang dikesan dalam bilik darjah kepada tingkah laku positif, menyelesaikan tingkah laku bermasalah yang berlaku dan membentuk iklim bilik darjah yang berdisiplin dan kondusif untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

     Langkah-langkah yang sistematik dalam modifikasi tingkah laku adalah:- Mengenalpasti tingkah laku negatif yang perlu diubah Menetapkan matlamat Menentukan strategi bertindak Merancang prosedur atau pelan bertindak Melaksanakan strategi mengikut pelan bertindak Menilai keberkesanan dan mengubahsuai rancangan jika perlu Memastikan pencapaian matlamat yang telah ditetapkan Teknik Modifikasi Tingkah Laku Modifikasi tingkah laku adalah suatu pendekatan yang bersistematik untuk mengubah tingkah laku melalui aplikasi prinsip-prinsip pelaziman. Berikut adalah teknik modifikasi yang dapat digunakan bagi menangani masalah tingkah laku pelajar:-

Peneguhan Positif dan Peneguhan Negatif

Peneguhan positif adalah kebarangkalian berulangnya tingkah laku operan yang diingini (atau tidak diingini) ditambah. Peneguhan positif digunakan sebagai ganjaran untuk mendorong pelajar memberi tumpuan semasa belajar seperti memberi pujian, penghargaan, hadiah dan sebagainya. Manakala peneguhan negatif ialah kebarangkalian berulangnya tingkah laku operan ditambah dengan memindahkan atau menghapuskan stimuli yang menggangu. Contoh:- guru menghalau seorang murid yang membuat bising dari kelas akan dapat menambahkan peluang murid-murid lain supaya meneruskan aktiviti pembelajaran mereka tanpa gangguan. Denda Denda ialah tindakan yang dikenakan bertujuan untuk menghentikan sesuatu tingkah laku negatif. Ianya menggunakan hukuman yang memang diketahui oleh murid yang melanggar peraturan dan memastikan hukuman itu sesuai dan berpatutan.

    Menurut Skinner, denda hanya boleh memberi kesan dalam tempoh yang singkat sahaja. Selepas itu biasanya murid itu akan mengulanginya semula. Contoh:- guru juga boleh memberhentikan tingkah laku yang tidak diingini yang dilakukan oleh pelajar dengan menukarkan tempat duduknya atau berjumpa dengannya selepas waktu belajar. Reverse Psyclogy Ia adalah kaedah menggunakan psikologi untuk memodifikasikan tingkah laku negative kepada positif. Ia memerlukan guru mahir dalam memahami psikologi pelajar yang berkenaan serta mengenali sikap, pandangan dan pemikiran dalamannya. Ia bertujuan untuk menginsafkan pelajar sekaligus membuang tingkah laku negatif dan membentuk tingkah laku yang baik. Shaping Shaping merupakan proses pembentukan tingkah laku yang diingini melalui beberapa peneguhan diberi secara beransur-ansur kepada tindakbalas yang diharapkan. Proses shaping adalah tentukan matlamat tingkah laku, tentukan langkah untuk mencapai matlamat, kenalpasti ‘langkah pertama’ dan teguhkan setiap langkah sehingga tingkah laku baru telah dipelajari. Teknik ini perlu digunakan apabila pelajar itu tidak melakukan dengan sendiri tingkah laku yang diingini.

     Token Economy Ia merupakan satu sistem untuk membahagikan beberapa peneguh simbolik yang akan ditukarkan kepada pelbagai peneguh yang diidamkan seperti point merit, markah dan peratus. Kebiasaannya ia digunakan di sekolah-sekolah berasrama penuh bagi pengukuhan disiplin pelajar. Pelajar-pelajar diberi token apabila bertingkah laku seperti yang diingini dan token tersebut boleh ditukar dengan benda/ aktiviti lain yang berperanan sebagai peneguh. Lama-kelamaan token menjadi sesuatu peneguhan yang berharga dan ingin diperolehi. Kontrak (Lisan atau Bertulis) Membuat perjanjian secara lisan atau menandatangani kontrak merupakan salah satu cara yang berkesan untuk memodifikasikan tingkah laku negatif kepada positif. Contoh:-membuat kontrak formal dengan guru besar dapat menyakinkan pelajar bahawa dia akan dikenakan tindakan yang berat sekiranya melakukan kesalahan sebagaimana perjanjian yang telah dibuat.

     Kawalan Kendiri Tingkah laku ini merujuk kepada kebolehan individu mengawal tingkah laku sendiri. Mengawal diri dari tekanan situasi yang timbul secara tiba-tiba. Ia merujuk kepada kemampuan menahan diri dari godaan dan menangguhkan keseronokan. Ia dilakukan seperti berikut:- a) Menentukan tingkah laku yang ingin dimodifikasikan b) Mengumpulkan data c) Merancang program tindakan d) Menilai program e) Menamatkan program c) Positive Classroom Discipline Terdapat dua jenis tingkah laku bermasalah, iaitu tingkah laku bermasalah positif dan tingkah laku bermasalah negatif.

     Tingkah laku bermasalah positif merujuk kepada tingkah laku yang ingin tahu, cepat belajar, proaktif dan pintar cerdas. Manakala tingkah laku bermasalah positif juga boleh menjejaskan kelicinan proses pengajaran dan pembelajaran. Beberapa tingkah laku bermasalah positif ialah ingin tahu, cepat belajar, pintar cerdas dan juga proaktif. Contoh berdasarkan situasi dalam kelas 1 Amanah iaitu pasangan kembar Shira dan Shirin yang saling bersaing dan bergaduh semata-mata untuk menarik perhatian guru dalam kelas. Kelakuan pasangan kembar ini menggambarkan sikap yang proaktif di dalam kelas. Mereka berdua saling bersaing cuba menonjolkan diri dalam pelajaran demi menarik perhatian guru di dalam kelas. Walaupun tingkah laku saling bersaing dalam pelajaran ini dilihat sebagai satu tingkah laku yang positif tetapi ia boleh menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Ditambah lagi apabila persaingan di atara pasangan kembar diselangi dengan perasaan dengki antara mereka berdua dan menyebabkan berakhir dengan pergaduhan di dalam bilik darjah.

     Mengikut pendekatan teori tingkah laku, iaitu yang dipelopori oleh Pavlov, Thorndike dan Skinner berpendapat pembelajaran adalah berkaitan dengan perubahan tingkah laku. Mereka mengaitkan perhubungan rangsangan dan gerak balas yang menghasilkan perubahan tingkah laku. Setiap rangsangan menimbulkan tindak balas dan pembelajaran yang berlaku akibat kaitan dengan rangsangan dan gerak balas. Sesuatu rangsangan yang berkaitan dengan rangsangan yang lain akan mendatangkan pembelajaran yang dikenali sebagai pelaziman. Guru yang kurang daya inisiatif dari segi strategi dan teknik pengajaran akan gagal untuk menarik dan meransang minat murid-murid untuk mengikuti proses pembelajaran semasa di dalam bilik darjah. Begitu juga dengan rangsangan dalam bentuk arahan guru semasa di dalam bilik darjah juga membawa kepada terjadinya tingkah laku bermasalah ini. Arahan guru yang kurang jelas, tidak mudah difahami dan suara yang kurang kuat boleh menyebabkan murid-murid berasa keliru dan tidak tahu apa yang hendak dilakukan.

     Menurut Teori Tingkah Laku Behaviourisme, rangsangan dalam bentuk arahan guru telah gagal untuk menarik motivasi murid-murid mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Selain faktor guru yang menyebabkan berlakunya tingkah laku bermasalah, peranan keluarga juga memainkan peranan. Keluarga merupakan orang yang paling dekat perhubungan degan murid. Pengalaman daripada keluarga mempengaruhi perlakuan murid. Ibu bapa yang kurang meluangkan masa di rumah untuk anak-anak lantaran sibuk bekerja, begitu juga murid yang miskin juga kurang mendapat kasih sayang dari ibu bapa di rumah kerana adik-beradik yang ramai mendorong terjadinya tingkah laku bermasalah ini di sekolah. Anak-anak yang tidak mendapat cukup perhatian di rumah selalunya cuba mendapatkan perhatian daripada guru di sekolah. Seseorang anak selalunya mendapat perhatian daripada ibu bapa apabila berkelakuan tidak senonoh. Jika mereka tidak mengganggu ibu bapa selalunya dia tidak diberi perhatian.

     Situasi ini menggalakkan mereka berkelakuan negatif dan tidak menggalakkan mereka berkelakuan positif. Murid ini beranggapan bahawa perlakuan tidak senonoh adalah cara untuk mendapatkan perhatian guru. Keadaan inilah yang terjadi di dalam kelas 1 Amanah di mana pasangan kembar yang saling bersaing dalam usaha menarik perhatian guru. Disebabkan Cikgu Rozana tidak menyedari masalah ini maka mereka melayan dan mengganggu murid yang lain. Faktor psikologi, sosial dan nilai diri pelajar juga merupakan salah satu punca masalah tingkah laku bermasalah. Ada di kalangan pelajar yang berasa seolah-olah dibenci kerana mereka merasa banyak kekurangan apabila memasuki sekolah yang mempunyai set peraturan yang berbeza antara sekolah atau alam sekitarnya yang jauh berbeza. Pelajar kurang dorongan dan kurang cita-cita untuk mengejar kejayaan dalam bidang akademik.

     Di dalam kelas, mereka kurang mendapat perhatian jika guru sudah ada pra-anggapan bahawa kelas ini atau pelajar ini bodoh, degil atau nakal dan sebagainya. Keadaan inilah yang berlaku di dalam kelas 1 Amanah. Murid-murid dalam kelas tersebut yang terdiri daripada pelbagai latar belakang keluarga ditambah lagi dengan tahap pembelajaran yang lemah dan sering tidak membawa buku. Murid menyangka seolah-olah benci terhadap mereka dan reaksi mereka terhadap segala peraturan menyebabkan ingin memberontak. Kadangkala murid-murid tidak merasa puas hati apabila guru memuji dan mementingkan pelajar-pelajar yang berpakaian kemas dan mempunyai buku teks yang lengkap. Dalam mengatasi masalah tingkah laku bemasalah ini menjadi semakin ketara, oleh itu langkah-langkah mengatasi haruslah segera diambil. Setiap pihak memainkan peranan dalam menangani masalah tingkah laku di kalangan murid-murid.

      Dalam mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dengan tahap dan minat murid dalam bilik darjah maka guru harus mengenali latar belakang murid dan mengkaji kebolehan dan minat mereka. Dengan ini pelajaran yang disampaikan sejajar dengan kebolehan dan minat, dengan ini komunikasi berkesan akan wujud. Guru harus memanggil nama pelajar semasa menyoal dan ini membentuk suasana yang mesra antara guru dengan pelajar . Di samping itu, penyampaian arahan dan pengajaran guru hendaklah jelas dan mudah diikuti oleh murid-murid agar mereka terangsang dan tertarik untuk meneruskan proses pembelajaran. Selain itu juga, kemahiran komunikasi yang berkesan haruslah dikuasai oleh guru-guru. Ini kerana amalan komunikasi yang berkesan di dalam bilik darjah akan membawa hasil pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan.

      Untuk mengamalkan komunikasi berkesan dalam bilik darjah, guru harus menguasai kemahiran-kemahiran penggunaan kaedah dan teknik mengajar, khasnya teknik menyoal. Sebagai seorang penyampai ilmu pengetahuan, guru dikehendaki berkomunikasi secara lisan dan bertulis dengan murid-muridnya agar dapat menyampaikan maklumat dengan berkesan. Guru yang mempunyai komunikasi yang berkesan ialah guru yang boleh bertutur atau menulis dengan jelas dan tepat. Kemahiran komunikasi ini membolehkan murid-murid mengikuti pelajaran yang diajarkan dengan lebih tepat. Guru hendaklah bertutur dengan intonasi yang sesuai agar tidak membosankan murid. Guru juga perlulah bersemangat tinggi dalam penyampaiannya. Penggunaan pergerakan fizikal, gerak isyarat dan memek muka semasa menerangkan sesuatu pelajaran akan memudahkan pemahaman dan menarik minat perhatian pelajar untuk terus mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Selain itu, tingkah laku guru yang membenarkan pelajar melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti tetapi pada masa yang sama dapat mengekalkan disiplin bilik darjah.

      Guru perlu merangsang pelajar untuk mengemukakan soalan-soalan dalam bilik darjah. Suasana bilik darjah akan lebih mesra dan tenang jika guru dapat menyelitkan humor dan unsur-unsur kecindan semasa proses mengajar dilakukan. Guru harus bersikap positif dan bertutur dengan bahasa yang baik serta bercakap tentang perkara-perkara yang baik dan benar. Guru seharusnya mengelak daripada mengkritik idea atau pendapat pelajar yang salah atau tidak tepat. Malah guru perlu memberi peneguhan positif dan cuba memperbaiki jawapan murid yang kurang tepat dan menggalakkan mereka mencuba lagi jika jawapan salah. Dengan ini, suasana sosioemosi bilik darjah akan lebih tenang dan relaks dan menggalakkan penglibatan murid secara aktif dan komunikasi guru dengan pelajar lebih terbuka. Oleh itu, dengan adanya kemahiran komunikasi yang berkesan dalam kalangan guru-guru menyebabkan murid-murid tidak terdorong ke arah melakukan tingkah laku yang bermasalah dalam bilik darjah.

      Dalam pengurusan disiplin dalam bilik darjah juga dapat dipraktikkan dengan memberi peneguhan kepada pelajar samada dalam bentuk peneguhan positif atau peneguhan negatif. Peneguhan positif terdiri daripada memberi ganjaran, pujian, hadiah untuk hasil kerja pelajar dan supaya pelajar mewujudkan tingkah laku yang membina dan positif serta dikaitkan dengan perasaan kegembiraan. Mengubah tingkah laku dengan memberi ganjaran kepada tingkah laku yang diingini dan mengurangkan tingkah laku yang tidak diingini. Penggunaan peneguhan yang sistematik boleh membentuk tingkah laku seperti yang dikehendaki. Tingkah laku menjadi kurang atau lemah jika tidak diikuti dengan pengukuhan. Kesimpulan Sebagai kesimpulannya, dapatlah dirumuskan bahawa terdapat berbagai-bagai tingkah laku masalah di kalangan pelajar-pelajar sekolah rendah semasa dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.

       Tingkah laku bermasalah ini adalah disebabkan oleh berbagai faktor yang menyebabkan berlakunya salah laku ini. Faktor fizikal bilik darjah, faktor persekitaran rumah dan juga faktor peranan yang dimainkan oleh guru itu sendiri semasa melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Oleh itu, berbagai cara dan langkah telah diambil dalam membantu guru dalam menangani masalah tingkah laku bermasalah di kalangan murid-murid di dalam bilik darjah dari terus mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.

RUJUKAN

Abdullah Sani Yahaya. (2005). Mengurus Disiplin Pelajar. Pahang: Bentong Pts Publication & Distributors Sdn Bhd. Disiplin Asertif (2010). Dicapai pada 20/12/2010 dari http://treebuilder.blogspot.com/2010/11/disiplin-asertif

html Institut Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran Malaysia (2010). Nota PISMP: Disiplin asertif. Dicapai pada 20/12/2011 dari http://notapismp.blogspot.com/2010/05/disiplin asertif.

html. Merapatkan jurang pendidikan. (2007). Dicapai pada 20/01/2012 dari http://www.bppt.com.my/resources/download.php?id…; Modifikasi tingkah laku. Dicapai pada 15/01/2012 dari http://www.google.com.my/url?sa=t&rct=j&q=modifikasi%20tingkah%20laku&source=web&cd=2&sqi=2&ved=0CC8QFjAB&url=http%3A%2F%2Fmysalawati.21classes.com%2Fpub%2Fmysalawati%2Ftingkahlaku_bermasalah.doc&ei=oZU

NordinTahir. (2011). Modifikasi tingkah laku. Dicapai pada 15/01/2012 dari http://www.amaljaya.com/guru/wp-content/uploads/2011/09/moditifikasi-tingkahlaku-kpli.pdf

Perkembangan fizikal, sosial dan emosi kanak-kanak cerdas pintar. (2010). Dicapai pada 23/01/2012 dari http://www.fskpm.upsi.edu.my/…/strategi_pengajaran_dan_pembelajaran.php

Rahsia individu pintar cerdas dan masalah mereka. (2010). Dicapai pada 22/01/2012 dari http://www. freewebs.com/truesenfa/bab1.htm/

Topik 7: Pengurusan bilik darjah.Dicapai pada 15/01/2012 dari http://www.google.com.my/url?sa=t&rct=j&q=modifikasi%20tingkah%20laku&source=web&cd=7&ved=0CFoQFjAG&url=http%3A%2F%2Fwww.freewebs.com%2Foum1%2FBilikDarjah.ppt&ei=N

By studentcreative2012 Posted in Lain-lain

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s